Tuesday, October 18, 2011

LAPORAN PENUH KLINIK DAN KEJOHANAN DALAMAN SUKAN SEPAK TAKRAW USPTN KEDAH 2011
















Salam,

Klinik Sukan Sepak Takraw Dan Kejohanan Dalaman Sukan Sepak Takraw USPTN Kedah 2011 telah diadakan pada 15 Oktober 2011 bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum Tunku Abdul Rahman. Seramai 51 peserta berumur 12 tahun telah mengambil bahagian yang terdiri daripada wakil setiap daerah di negeri Kedah. Setiap daerah telah menghantar peserta sukan sepak takraw yang terbaik di daerah masing-masing.

Program binaan ini bermula dengan majlis perasmian yang disempurnakan oleh Penolong Pengarah Majlis Sukan Negeri Kedah Encik Azmee Bin Abdun. Selepas upacara perasmian, majlis diteruskan dengan upacara penyerahan tajaan. Syarikat Gajah Emas dan Syarikat Pallas telah menyerahkan tajaan yang berupa tajaan baju, kasut, bola dan jaring kepada Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri Kedah bagi pelaksanaan klinik ini.

Program diteruskan dengan Klinik Sepak Takraw yang dikendalikan oleh 5 orang jurulatih iaitu En. Zabidi Syariff, En. S.Manimaran, En. Azman Ismail, En. Abd Malek Shamsudin dan En. Nazirul Ikram Rozali. Dalam sesi klinik ini peserta akan diajar oleh jurulatih berkenaan cara dan teknik yang betul dalam sukan sepak takraw.

Selepas sesi klinik, program diteruskan dengan Kejohanan Dalaman Sukan Sepak Takraw. Peserta kejohanan ini terdiri daripada peserta klinik. Peserta mewakili daerah masing-masing dalam kejohanan ini. Sebanyak 13 regu mengambil bahagian dalam kejohanan ini.

Sebelum perlawanan akhir diadakan, satu perlawanan pertunjukan telah diadakan untuk tontonan peserta klinik dan juga tetamu – tetamu yang hadir. Antara nama besar yang beraksi dalam perlawanan pertunjukan ini ialah En S. Saravanan, En Malek Shamsudin dan juga En Faizal Adnan iaitu anak kepada lagenda sepaktakraw Negara Adnan Saidin. YM Datuk Tengku Zainol bin Tengku Yahaya, Pemangku Presiden Gabungan Sepaktakraw Negeri Kedah juga turut berangkat bagi Majlis Penutup kejohanan ini. Selain daripada itu, beliau juga turut memberikan sumbangan hamper kepada semua peserta yang menyertai kejohanan ini. Di perlawanan akhir, Pasukan Daerah Kota Setar telah menewaskan pasukan jemputan dari Perlis dengan kiraan mata 15 – 7, 8 – 15, 15 – 6.

Untuk makluman, 12 pemain yang terbaik dalam kejohanan ini akan ditawarkan tempat dalam Program Pelapis 2012. Pemain terbaik ini juga akan ditawarkan sesi persekolahan dan penginapan di Asrama SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman.

Program ini mendapat sokongan daripada semua pihak. Antaranya Majlis Sukan Negeri Kedah, Jabatan Pelajaran Negeri Kedah, Pejabat Pelajaran Daerah, Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum Tunku Abdul Rahman dan keluarga peserta. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Program berakhir pada jam 6.30 petang.

Sekian, terima kasih

Laporan disediakan oleh Mohd Farid Fauzi

No comments:

Post a Comment